BANGKOK: Sekiranya semua rakyat Thailand mematuhi sekatan Covid-19 yang dilaksanakan dan program vaksinasi yang menyasarkan golongan berisiko berjalan lancar, jumlah kes jangkitan koronavirus di negara ini diramal dapat dikurangkan.
Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Thailand, Kiattiphum Wongrajit berkata, negara ini hanya memerlukan kadar pematuhan sekatan Covid-19 sebanyak lima peratus untuk menjadikan situasi semakin reda.
“Ketika ini, semua pihak perlu bekerjasama memerangi ancaman Covid-19. Kami (kerajaan) minta supaya semua sektor mematuhi sekatan yang dilakukan.
“Sekiranya semua sekatan dipatuhi, kadar kes jangkitan di negara ini boleh turun secara signifikan,” katanya seperti yang dilapor Bangkok Post.
Selain itu, Kiattiphum turut menggesa semua penduduk, khususnya yang tinggal di lokasi paling teruk terjejas akibat Covid-19 supaya beri kerjasama yang baik agar usaha kerajaan mengekang penularan berhasil.
“Tolong bersabar dan bantulah kami kurangkan kes jangkitan serta kematian akibat Covid-19.
“Jika kita boleh lakukan semua ini, kita pasti dapat lihat keadaan yang lebih baik pada bulan depan, malah beberapa minggu di sesetengah kawasan,’ ujarnya.
Dianggarkan 80 peratus kematian Covid-19 di negara ini melibatkan golongan warga emas yang mempunyai masalah kesihatan.
Sehubungan itu, kerajaan Thailand menyasarkan golongan tersebut sebagai penerima utama vaksin Covid-19.