MANILA: Tentera Filipina menembak mati 16 anggota komunis dalam satu serbuan di sebuah lokasi yang disyaki menjadi tempat persembunyian kumpulan gerila, di sini semalam.
Jurucakap tentera Filipina, Reynaldo Aragones berkata, maklumat mengenai lokasi persembunyian itu dimaklumkan oleh penduduk setempat.
Katanya, puluhan senjata api turut dirampas ketika serbuan dibuat.
“Kumpulan komunis dan pasukan tentera saling berbalas tembakan sehingga memaksa kami melancarkan serangan artileri dan sokongan aset udara,” katanya.
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menyatakan, kerajaan sentiasa meningkatkan usaha untuk menghapuskan pemberontakan Maoist.
Usaha perdamaian antara kumpulan tersebut dengan kerajaan Filipina banyak kali tertangguh, menyebabkan Duterte berikrar untuk menghapuskan Maoist.
Pada Mac lalu, Duterte mengarahkan polis dan tentera supaya ‘menghapuskan’ pemberontak komunis, namun mendapat kritikan daripada aktivis hak asasi manusia. – REUTERS