OUAGADOUGOU: Sekurang-kurangnya 13 anggota militan terbunuh dan sebuah tapak logistik kumpulan itu berjaya dimusnahkan dalam satu serangan balas di utara dan timur Burkina Faso.
Tentera negara barat Afrika itu memaklumkan perkara itu menerusi kenyataan.
Menurut Ketua Staf Burkinabe, satu operasi udara dan darat dilancarkan pada Ahad lalu berikutan serangan terhadap anggota militia pertahanan awam (VDP) di Beleyanga, wilayah Sahel.
Jelas kenyataan itu, pasukan tentera berjaya membunuh kira-kira 10 militan dan memusnahkan senjata dan 15 motosikal.
Sementara itu, satu operasi yang dijalankan selepas serangan terhadap kem tentera di Tankoualou, juga membawa kepada pembunuhan tiga anggota militan dan rampasan beberapa senjata, peluru dan pelbagai barangan lain.
Menurut kenyataan itu, tiada kematian dilaporkan di pihak kerajaan.
Tambah kenyataan tersebut, ketika operasi dijalankan, sistem pengintipan udara mengesan sebuah tapak logistik kumpulan militan di sebuah hutan sekitar bandar Dablo di wilayah utara-tengah.
“Tapak itu yang mengandungi bahan bakar, peralatan tidur, makanan dan pelbagai barangan lain musnah dalam operasi tersebut,” jelas kenyataan itu. – AFP