KABUL: Taliban mengisytiharkan peperangan di Afghanistan sudah berakhir dan memaklumkan pentadbiran kerajaan baharu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Jurucakap Taliban, Mohammad Naeem berkata, kumpulan itu memberi jaminan mereka dapat menyediakan keselamatan yang terbaik untuk rakyat dan misi diplomatik di negara ini.
Katanya, pemimpin Taliban sudah bersedia untuk mengadakan sesi dialog bersama semua ‘orang penting’ Afghanistan dan memberi jaminan perlindungan serta keselamatan.
Beliau juga memberitahu, Taliban tidak berpendapat pasukan tentera asing akan ‘mengulangi lagi kesilapan mereka di negara ini’.
“Kami akan bertanggungjawab dalam setiap langkah yang diberi bagi memastikan keamanan serta kestabilan dapat dicapai dengan semua pihak.
“Kami sudah bersedia untuk berdepan dengan kebimbangan antarabangsa menerusi dialog,” katanya.
Seorang lagi jurucakap Taliban, Suhail Shahee berikrar tiada ‘balas dendam’ terhadap mana-mana pihak yang berkhidmat dengan kerajaan Afghanistan sebelum ini.
Namun, beliau enggan memberi jaminan untuk membenarkan penduduk Afghanistan melarikan diri dari negara ini.
“Polisi kami adalah jelas iaitu tiada sesiapa pun dibenarkan keluar dari negara ini kerana hanya rakyat Afghanistan boleh bangunkan semula negara kita,” ujarnya.
Tinggal atau keluar
Golongan ekspatriat di Afghanistan yang bercadang untuk tinggal di negara ini perlu berdaftar dengan pentadbiran Taliban atau mereka boleh keluar.
Dalam pada itu, kerajaan United Kingdom menghantar sejumlah pesawat Tentera Udara Diraja Britain untuk membawa keluar 6,000 rakyatnya termasuk diplomat dan penterjemah Afghanistan.
Duta Amerika Syarikat (AS) dan Perancis di Kabul sudah pun dipindahkan dan tentera AS ketika ini bertungkus-lumus mengeluarkan lebih 10,000 rakyatnya dari negara ini dengan lebih 6,000 anggota tentera dikerah membantu usaha tersebut.
Selain itu, Kementerian Pertahanan Itali memaklumkan, pesawat tentera pertamanya tiba di Kabul semalam dan akan melakukan ‘pemindahan kecemasan’ melibatkan rakyat serta diplomatnya.
Denmark, Norway dan Finland menutup sementara bangunan kedutaan di Kabul, manakala Rusia, China, Pakistan dan Turki pula tidak akan menutup kedutaan mereka.
Penerbangan terjejas
Kebanyakan syarikat penerbangan utama menyusun semula jadual penerbangan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku selepas Taliban menguasai Afghanistan.
United Airlines, British Airways dan Virgin Atlantic memaklumkan mereka tidak akan menggunakan laluan di ruang angkasa negara ini buat sementara waktu.
Britain ‘geram’
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menegaskan, keputusan AS untuk berundur dari Afghanistan menyebabkan berlaku krisis ketika ini dan mengumumkan keutamaan kerajaan adalah membawa keluar semua rakyat Britain dengan selamat.
Kekecohan
Pasukan tentera AS dilaporkan terpaksa melepaskan tembakan ke udara di lapangan terbang Kabul selepas keadaan mula tidak terkawal apabila orang ramai berpusu-pusu mahu menaiki pesawat meninggalkan negara ini.
Bunyi tembakan boleh didengari dalam beberapa rakaman video yang dikongsi dalam media sosial.
Tentera AS kini mengawal dan menguasai lapangan terbang Kabul bagi memastikan semua proses pemindahan berjalan lancar.
Sementara itu, sejumlah penduduk Afghanistan yang sebelum ini melarikan diri ke Pakistan sudah mula masuk semula ke negara ini selepas Taliban memberi jaminan akan membentuk kerajaan yang lebih baik. – AGENSI