SINGAPURA: Pengunjung medan selera dan kedai kopi yang tidak membersihkan meja selepas makan akan dikenakan denda bermula 1 Januari 2022.
Perkara itu diumumkan oleh Agensi Alam Sekitar Singapura hari ini.
Pelaksanaan peraturan tersebut di pusat penjaja yang diumumkan pada Mei lalu akan berkuat kuasa Rabu ini, menyaksikan pesalah akan menerima amaran bertulis bagi kesalahan pertama dan denda S$300 (RM926) untuk kesalahan kali kedua.
Pesalah juga boleh dihadapkan ke mahkamah jika melakukan kesalahan sama berulang kali biarpun sudah diberi amaran mahupun denda.
Penguatkuasaan peraturan serupa bagi medan selera dan kedai kopi pula akan dilaksanakan tahun depan selepas tempoh ‘percubaan’ bermula 1 November hingga 31 Disember ini.
“Ketika tempoh percubaan, pegawai dari Agensi Makanan Singapura akan ditempatkan di semua kedai makan bagi memantau situasi.
“Semua pengendali kedai makan dinasihatkan supaya mengingatkan pelanggan supaya membersihkan meja selepas makan,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, poster dan notis peringatan juga akan ditampal di kawasan berkenaan untuk makluman orang ramai. – AGENSI