SYDNEY: Syarikat penghantaran barang, Australia Post membuka 4,000 tawaran kerja kosong bagi mencari pekerja baharu disebabkan bilangan pengguna yang membeli barang secara dalam talian meningkat mendadak semasa perintah berkurung dilaksanakan.
Lapor Daily Mail, sebanyak 2,100 staf diperlukan untuk membantu melakukan penyusunan lambakan barangan, manakala, 1,000 jawatan kosong melibatkan pemandu penghantaran serta selebihnya melibatkan bahagian sokongan pelanggan.
Pengurus Besar syarikat itu, Nicole Sheffield berkata, pemandu syarikat menghantar kiriman barang setiap hari tanpa henti sejak Mac lalu dan suasana itu ibarat seperti musim perayaan Krismas.
“Rakyat Australia bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan Australia Post dan kami meletakkan beberapa langkah utama untuk menghadapi cabaran terbesar bagi beberapa bulan akan datang,” katanya.
Menurut Sheffield, pihaknya menjangka sebanyak 500,000 bungkusan akan dihantar sebelum hujung tahun ini.
Walaupun berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19, kata Sheffield, kebanyakan barangan masih dihantar mengikut masa yang dijadualkan.