LONDON: Seorang suspek yang dilaporkan membunuh lima orang dalam satu insiden tembakan rambang di United Kingdom (UK) dikenal pasti sebagai Jake Davison.
Bagaimanapun, polis menyatakan motif pembunuhan itu tidak dapat dipastikan.
Lapor Al Jazeera, menurut polis, Davison yang merupakan pengendali kren mula melepaskan tembakan menggunakan senapang patah kira-kira pukul 6 petang (waktu tempatan) dengan menyasarkan seorang wanita dikenali di sebuah rumah di Biddick Drive di bandar Plymouth, tenggara England.
Katanya, suspek kemudian berlari keluar dari rumah dan segera menembak mati seorang budak perempuan yang sedang berjalan dengan anjingnya di jalanan.
Jelas polis, Davison juga menembak dua pejalan kaki yang kini mengalami kecederaan parah.
Lelaki itu kemudian memasuki sebuah taman dan menembak mati seorang lagi lelaki sebelum membunuh seorang wanita di Henderson Place.
“Dia mengacukan pistol itu ke arah dirinya sebelum polis berjaya menahannya,” kata polis.
Ketua Polis Cornwall dan Devon, Shaun Sawyer berkata, insiden tembakan rambang itu berakhir dalam tempoh beberapa minit.
“Setakat ini, tiada motif,” kata Sawyer sambil menambah polis tidak mempertimbangkan insiden itu mempunyai kaitan dengan kegiatan pengganas.
Sawyer juga tidak dapat mengesahkan sama ada Davison mempunyai masalah kesihatan mental. – AGENSI