LONDON: Sepasang suami isteri menemukan sejenis kulat yang berbau seperti bangkai di belakang rumah mereka di Berkshire, baru-baru ini.
Penemuan tersebut menjadikan baru enam kali kulat yang diberi nama clathrus ruber itu ditemukan di United Kingdom (UK).
Pada mulanya, Terry Driscoll dan Stephanie Slann terhidu bau busuk seperti bangkai sebelum menemukan kulat berwarna merah.
“Ketika mula-mula saya melihat kulat itu, saya sangkakan ia adalah permainan anjing dan pasa masa yang sama mengeluarkan bau sangat busuk.
“Kami dimaklumkan kulat itu merupakan tumbuhan yang jarang ditemukan dan kiranya, kami bertuah kerana dapat melihatnya depan mata,” kata Terry.
Kemudian, pasangan itu melaporkan penemuan tersebut kepada Buckinghamshire and Oxfordshire Wildlife Trust (BBOWT) dan mereka mengesahkan kulat itu adalah clathrus ruber.
Bau kulat tersebut disamakan seperti bau bangkai haiwan dan keadaan itu menarik perhatian lalat untuk menghurunginya, kemudian menyebarkan spora.
Secara umumnya, kulat itu boleh dimakan walaupun baunya busuk.
Kulat itu banyak tumbuh di selatan Eropah, namun jarang ditemukan di Britain. – AGENSI