WASHINGTON: Laporan akaun tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mendedahkan senarai hadiah mewah yang diterima oleh Donald Trump ketika menjadi Presiden negara itu.
Trump pada tahun pertama memegang jawatan tertinggi AS itu, dilaporkan menerima beberapa hadiah yang keseluruhannya bernilai lebih AS$140,000 (RM590,580).
Lapor Suara.com, sekurang-kurangnya tiga pemimpin dunia iaitu dari Australia, Mesir dan Vietnam memberi Trump sebuah potret dirinya yang bernilai lebih AS$10,000 (RM42,182).
Berdasarkan laporan itu, Trump juga menerima sebuah lukisan dirinya daripada bekas Presiden Vietnam, Nguyen Phu Trong yang bernilai kira-kira AS$5,250 (RM22,145).
Trump juga dihadiahkan sebuah gambar dirinya dengan bingkai khas diukir dari batu hitam berserta lambang Mesir di bahagian belakang yang bernilai AS$4,450 (RM18,771) dari Presiden, Abdel Fattah el-Sisi.
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison pula menghadiahkan sebuah gambar Trump bersama isterinya, Melania bernilai AS$470 (RM1,982).
Barangan mewah lain yang diterima Trump termasuk senapang antik bernilai AS$8,500 (RM35,858) dari perdana menteri Bulgaria.
Beliau juga menerima patung kuda gangsa dari putera mahkota Bahrain bernilai AS$7,200 (RM30,375).
Emir Qatar menghadiahkan kepada Trump sebuah patung oryx emas bertatah berlian, batu zamrud dan onyx bernilai AS$6,300 (RM26,578).
Jelas laporan itu, kesemua hadiah tersebut termasuk potret telah diserahkan kepada Arkib Negara. – AGENSI