HO CHI MINH: Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh mengarahkan semua penduduk di Ho Chi Minh City melakukan ujian saringan Covid-19 selepas pasukan tentera dikerahkan untuk mengedarkan makanan kepada penduduk ketika bandar ini menjalani perintah berkurung.
Sebelum itu, timbul kekeliruan dalam kalangan penduduk mengenai arahan kerajaan yang tidak membenarkan semua penduduk di bandar keluar walaupun untuk membeli makanan.
Larangan itu akan dikuatkuasakan bermula hari ini sehingga 6 September.
Pihak berkuasa Vietnam menganggarkan bandar ini memerlukan kira-kira 11,000 tan makanan untuk diedarkan kepada penduduknya setiap hari.
Timbalan Menteri Pertahanan Vietnam, Vo Minh Luong berkata, pasukan tentera bekerjasama dengan kumpulan sukarelawan, anggota veteran dan kesatuan untuk mengagihkan makanan kepada penduduk.
Vietnam ketika ini bergelut dengan gelombang baharu Covid-19 dengan sebanyak 11,299 kes direkodkan sehingga Sabtu lalu.
Penduduk di bandar ini dilarang keluar dari rumah kecuali pergi ke tempat kerja (jika mempunyai surat kebenaran), mendapatkan makanan atau perubatan.
Ribuan anggota tentera turut ditempatkan di seluruh bandar ini bagi melaksanakan perintah berkurung tersebut.