LONDON: Musim kemarau berpanjangan mengakibatkan salji di jajaran pergunungan Andes mencair secara drastik pada tahun ini.
Beberapa saintis turut mengaitkan kejadian itu dengan fenomena pemanasan global.
Taburan hujan dan salji yang sangat berkurangan turut menyebabkan kebanyakan permukaan gunung antara Ecuador dan Argentina tidak diliputi salji.
Penyelidik utama dari Argentine Institute of Snow, Glacier and Environment Science Studies, Ricardo Villalba berkata, masyarakat yang bergantung pada kawasan pergunungan untuk sumber air kini berdepan dengan krisis bekalan tersebut.
“Kita sedang menyaksikan taburan salji berkurangan dan kemarau untuk jangka masa panjang.
“Sekiranya anda melihat tahap taburan di seluruh Cordillera (jajaran Andes), ia menunjukkan sama ada tiada salji terbentuk atau dalam jumlah yang kecil sahaja,” katanya.
Hemisfera selatan ketika ini mengalami musim sejuk, apabila sepatutnya dilanda salji.
Dilaporkan, pusat peranginan ski dibuka semula selepas ditutup akibat pandemik Covid-19 dan menarik pelancong ke sempadan Argentina-Chile.
Namun, taburan salji yang berkurangan memaksa banyak resort mencari alternatif lain termasuk menghasilkan salji buatan.
Beberapa imej satelit yang dirakam pada Julai 2020 dan tahun ini, menunjukkan salji terkumpul di jajaran pergunungan Andes amat berkurangan.
Selain itu, Villalba berkata, glasier Andes yang sebelum ini kekal saiznya, kini dilaporkan semakin surut. – REUTERS