LONDON: Ahli astronomi meramalkan akan berjaya membuktikan kewujudan makhluk asing dalam tempoh dua tahun akan datang.
Hal ini berdasarkan penemuan satu kelas baharu planet yang berpotensi dapat didiami yang digelar sebagai planet Hycean, lapor Daily Star.
Planet yang dikenali sebagai K2-18B dengan jarak 110 tahun cahaya itu dilapisi atmosfera, kaya dengan hidrogen dan lautan dalam.
Saintis, Dr. Nikku Madhusudhan dari Universiti Cambridge berkata, planet itu dapat membuka jalan baharu dalam mencari kehidupan di tempat lain.
Jelasnya, pasukan penyelidik Britain berusaha mencari ‘biosignature’ pada molekul yang menjadi bukti kehidupan tersebut.
“Kami memfokuskan kepada planet yang menyerupai bumi kerana tempat paling sesuai untuk dimulakan pencarian. Jadi, planet Hycean menawarkan peluang yang lebih baik untuk mengesan beberapa jejak kehidupan.
“Ini akan mengubah pemahaman kita tentang kehidupan alam semesta. Kita harus bersikap terbuka dalam mencari makna kehidupan kerana alam akan terus mengejutkan kita dengan cara yang sering tidak dapat dibayangkan,” katanya.
Penemuan itu secara besar-besaran dapat meningkatkan kemungkinan kehidupan berkembang di tempat lain dan boleh tersebar luas.
Para saintis berharap dapat mencari makhluk asing itu dengan Teleskop Angkasa James Webb yang akan dilancarkan akhir tahun ini.