MOSCOW: Rusia tidak bercadang untuk memindahkan kedutaannya di Kabul selepas wilayah itu ditawan Taliban.
Menteri Luar Rusia, Zamir Kabulov berkata, beliau sudah berhubung secara langsung dengan Duta Rusia ke Afghanistan dan semua petugas di kedutaan dalam keadaan baik.
Media tempatan melaporkan, Kabulov memberitahu Rusia menjadi antara negara yang sudah menerima ‘jaminan perlindungan’ daripada Taliban.
“Kita (Rusia) sudah menerima jaminan dari Taliban sebelum ini dan kedutaan kita akan selamat di Kabul,” katanya.
Amerika Syarikat dan beberapa negara sudah pun membawa keluar para diplomat mereka dari Afghanistan ketika keadaan menjadi semakin buruk.
Taliban ketika ini semakin hampir menguasai semua wilayah penting di Afghanistan. – AFP