NEW YORK: Bilionair, Elon Musk bakal memperkenalkan robot Tesla yang menyerupai manusia dan akan menjalankan tugas harian yang ‘membosankan atau berbahaya’.
Lapor The Sun, robot dengan ketinggian 1.52 meter itu mempunyai berat badan 56 kilogram yang akan diperkenalkan kepada khalayak tahun depan dan diberi nama Optimus.
Optimus boleh melakukan kerja-kerja berat seperti mengambil barangan dapur atau membantu manusia membaiki kereta.
Musk menerusi Twitter memberitahu terdapat skrin yang diletakkan di bahagian wajah robot dengan android dikawal oleh sistem kecerdasan buatan (AI).
“Kami mempunyai semua kepingan yang diperlukan untuk robot humanoid dan bersedia menghasilkan robot dengan roda.
“Saya rasa ia penting pada masa depan kerana kerja fizikal akan hanya menjadi satu pilihan,” katanya.
Kereta Tesla Musk sebelum ini sudah mempunyai perisian sistem mod pandu sendiri yang dikuasakan oleh AI bagi membolehkan pengguna menentukan arah jalan tanpa pemandu dan sistem serupa dapat digunakan pada robot.
Musk berkata, dia juga berusaha mengurangkan kos supaya robot Tesla mampu menjadi alternatif realistik menggantikan tenaga kerja manusia.