LONDON: Peluang untuk mendapatkan komplikasi darah beku selepas dijangkiti Covid-19 lebih besar berbanding darah beku yang diakibatkan oleh pengambilan vaksin keluaran Pfizer atau AstraZeneca.
Perkara itu didedahkan berdasarkan data yang diperoleh dari lebih 29 juta penduduk di England bagi membandingkan kedua-dua vaksin itu dengan jangkitan Covid-19.
Ketua penyelidik dari Universiti Oxford, Julia Hippisley-Cox berkata, orang ramai perlu berhati-hati dengan pembentukan darah beku akibat vaksin, namun risiko itu lebih tinggi sekiranya mereka dijangkiti koronavirus.
Penyelidikan itu adalah berdasarkan data dari rekod kesihatan elektronik yang dikumpul antara 1 Disember 2020 dan 24 April 2021.
Selain thrombocytopenia (yang disebabkan oleh kiraan platlet rendah), para penyelidik juga melihat risiko lain seperti darah beku dalam otak (CVST) dan strok iskemik atauk ‘ischaemic’ iaitu darah beku yang menyekat bekalan darah ke otak.
Secara keseluruhannya, mereka menemukan peningkatan thrombocytopenia, darah beku dalam urat selepas dos pertama vaksin AstraZeneca, manakala darah beku berlaku dalam arteri dan strok iskemik selepas pengambilan vaksin Pfizer.
Namun, data menunjukkan terdapat 934 kes tambahan melibatkan thrombocytopenia bagi setiap 10 juta orang selepas dijangkiti Covid-19 berbanding 107 kes selepas menerima dos pertama vaksin AstraZeneca.
Bagi kes strok iskemik, terdapat 1,699 kes tambahan bagi setiap 10 juta orang selepas dijangkiti Covid-19 dan hanya 143 kes tambahan melibatkan vaksin Pfizer. – AGENSI