LOS ANGELES: Harta kekayaan bintang pop Hollywood, Rihanna dianggarkan berjumlah AS$1.7 bilion (RM7.2 bilion), menjadikan dia sebagai penyanyi wanita paling kaya di dunia.
Menurut Forbes, muzik tidak menjadi sumber pendapatan utama penyani tersebut, sebaliknya hasil penjualan barangan kosmetik di bawah jenama Fenty Beauty.
Rihanna atau nama sebenarnya Robyn Fenty dianggarkan memperoleh sebanyak AS$1.4 bilion (RM6 bilion) dari 50 peratus saham dalam perniagaan tersebut.
Selebihnya, Rihanna turut ‘membuat duit’ hasil saham yang dikongsi dengan Savage dan Fenty serta pendapatannya sebagai penyanyi.
Syarikat produk kecantikan Rihanna menampilkan bedak asas dengan rangkaian 50 warna kulit termasuk untuk wanita kulit gelap yang dilancarkan pada 2017.
Pelantun lagu ‘Umbrella‘ dan ‘Love the Way You Lie‘ itu berada di kedudukan kedua di belakang Oprah Winfrey dalam kategori penghibur wanita terkaya. – REUTERS