FLORIDA: Ratusan penduduk yang tinggal di sebuah kondominium lapan tingkat berdekatan Miami diarahkan untuk berpindah segera selepas struktur bangunan itu dilaporkan tidak selamat.
Lapor Al Jazeera, arahan itu dibuat selepas insiden bangunan Champlain Tower South di Surfside, Florida runtuh pada 24 Jun lalu sehingga mengakibatkan 98 orang maut.
Lapor media tempatan, penduduk di bangunan yang mempunyai 138 unit itu sedang berkemas dan membawa barangan mereka untuk dimuatkan dalam kenderaan masing-masing.
Penghuni bangunan kondominium itu diarahkan untuk berpindah pada pagi semalam.
Pada 7 Julai lalu, penghuni kondominium itu dimaklumkan mengenai beberapa pelanggaran termasuk kegagalan untuk mendapatkan pensijilan semula bahawa ia selamat untuk diduduki.
“Kami merasakan tidak selamat untuk tinggal di bangunan tersebut,” kata Pengarah Bangunan Miami, Asael `Ace’ Marrero kepada Miami Herald.
Pada Isnin lalu, beberapa pegawai dari jabatan bangunan Miami bertemu dengan persatuan penghuni kondominium dan jurutera.
Mereka mendapati struktur bangunan kondominium itu tidak kukuh dan telah mengeluarkan notis pemindahan kepada penduduk.
Menurut pegawai berkenaan, mereka sedang mencari perumahan sementara bagi penduduk tersebut. – AGENSI