SINGAPURA: Kali terakhir Lim Kok Leong berjumpa dengan anak perempuannya yang ketika itu berusia lima tahun adalah pada 17 Mac tahun lalu, iaitu lebih 500 hari sudah berlalu.
Kok Leong, 43, merupakan rakyat Malaysia yang sudah mendapat taraf penduduk tetap di Singapura sejak sedekad lalu dan ulang alik ke republik ini dari Johor sejak 1999 untuk mencari rezeki sebagai jurutera bio perubatan.
Namun, pandemik Covid-19 yang mula mengganas sejak awal tahun lalu mengubah rutin harian, malah kehidupannya dalam sekelip mata.
“Sehingga Sabtu lalu, sudah 508 hari saya terpisah dari keluarga dan tidak pulang ke rumah. Ramai yang beranggapan isu ini bukan hal besar dan mereka bandingkan kami dengan pekerja asing yang datang bekerja di sini.
“Mereka (pekerja asing) berbeza kerana sejak awal sudah bersedia mental dan fizikal untuk hadapi perpisahan ini,” katanya seperti yang dilapor Channel News Asia.
Pada Mac tahun lalu, kerajaan Malaysia melaksanakan perintah kawalan pergerakan, menyaksikan semua rakyatnya tidak dibenarkan ke luar negara dan pelancong asing tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.
Keadaan itu menyaksikan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura segera pulang ke republik ini sebelum pintu sempadan ditutup dan ramai yang beranggapan keputusan itu hanya sementara, namun semuanya meleset.
Sehingga kini, kerajaan Singapura dan Malaysia masih menutup pintu sempadan, menyaksikan Kok Leong dan rakyat Malaysia yang lain terpaksa ‘menanggung rindu’ terhadap keluarga.
Turut senasib, Muhammad Fariezatul Firdaus Ahmed yang juga tidak pulang ke rumahnya di Johor sejak 17 Mac tahun lalu.
Muhammad Fariezatul menjadi tunggak utama untuk menampung keluarganya selepas bapanya diserang strok, selain mempunyai kakak dengan kelainan upaya.
HALANGAN
Walaupun skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) diwujudkan untuk memudahkan pergerakan rakyat Malaysia yang bekerja di republik ini, masih ada tidak dapat menggunakan faedah tersebut.
Hal ini kerana syarat-syarat yang ditetapkan disifatkan ‘membebankan’, terutamanya selepas kes jangkitan di kedua-dua negara terus meningkat.
Muhammad Fariezatul memberitahu, dia mahu bercuti sementara, namun memikirkan kos yang perlu dikeluarkan untuk kuarantin di Malaysia dan Singapura selepas kembali, ia amat membebankan.
“Kos kuarantin menelan belanja yang banyak, selain saya juga perlu bayar sewa di sini dan keadaan itu menjadi halangan untuk pulang ke Malaysia,” ujarnya.
PERPISAHAN TERAKHIR
Siti Nur Rahimah Hamdan dari Ipoh, Perak pula bercadang untuk pulang ke kampung halaman pada 1 Jun lalu menerusi PCA selepas bapanya kritikal akibat penyakit buah pinggang dan diabetes.
Namun, nasib tidak menyebelahinya apabila bapa Rahimah meninggal dunia pada 7 Mei lepas dan hanya berpeluang menatap kubur bapanya.
“Biarpun tidak sempat tengok wajah bapa buat kali terakhir, namun saya masih berpeluang menziarahi kuburnya,” jelasnya. – AGENSI