BEIJING: Seorang rakyat Kanada gagal dalam rayuannya bagi mengetepikan hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah di China.
Mahkamah memutuskan hukuman itu kerana bukti pendakwaan terhadap pesalah, Robert Lloyd Schellenberg mencukupi.
Keputusan itu diputuskan selepas hubungan China dengan Kanada semakin tegang, lapor BBC.
Lelaki itu ditahan sejak 2014 dan menghadapi pertuduhan merancang pengedaran dadah jenis syabu seberat 227 kilogram dari China ke Australia.
Schellenberg bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menjelaskan dirinya ke China sebagai pelancong.
Dia akhirnya dihukum penjara selama 15 tahun pada November 2018.
Namun, beberapa hari selepas itu, Kanada pula menahan seorang eksekutif kanan Huawei, Meng Wanzhou dengan waran ekstradisi Amerika Syarikat (AS).
Duta Kanada di China, Dominic Barton mengutuk keputusan mahkamah itu dan menegaskan ia ‘bukan kebetulan’ kerana diputuskan ketika isu ekstradisi melibatkan Wanzhou di Kanada.
Wanzhou merupakan anak perempuan kepada pengasas syarikat telekomunikasi China.
Kanada sebelum ini menuduh China melakukan ‘diplomasi tebusan’, walaupun Beijing menafikan kes itu ada perkaitan.