WASHINGTON: Rakyat Hong Kong yang ketika ini berada di Amerika Syarikat (AS) dan bimbang akan keselamatan mereka, di tengah-tengah pergolakan politik di negara itu akan mendapat perlindungan sementara.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dalam satu memo yang dikeluarkan oleh White House.
Keputusan itu antara lain membenarkan penduduk Hong Kong yang berada di AS untuk tinggal selama 18 bulan dan bekerja.
“Menyedari hak dan kebebasan disekat di Hong Kong, saya mengarahkan pemindahan penduduk negara itu yang ketika ini berada di AS ditangguhkan dahulu,” katanya.
Menurut Biden, langkah itu mengambil kira penindasan hak dan kebebasan yang dilakukan oleh kerajaan China terhadap rakyat Hong Kong.
“Dengan mengenakan undang-undang keselamatan baharu, China telah menyekat hak dan kebebasan di Hong Kong,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Biden turut mengecam penahanan bermotifkan politik yang membabitkan lebih 100 ahli pembangkang, aktivis, penunjuk perasaan dibawah undang-undang keselamatan baharu yang diperkenalkan oleh China.
Katanya, lebih 10,000 lain ditahan berkaitan protes anti kerajaan. – AGENSI