Pukul belakang kepala pesakit skizofrenia, bekas atendan kesihatan dihukum penjara - Utusan Malaysia

Pukul belakang kepala pesakit skizofrenia, bekas atendan kesihatan dihukum penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Tertekan dan berang terhadap perangai seorang pesakit di Institut Kesihatan Mental (IMH), seorang bekas atendan kesihatan institut itu memukul belakang kepala lelaki itu sebanyak dua kali serta memarahinya.

Atas tindakannya itu, Sadasivam Kannan dihukum penjara tiga minggu.

Lelaki Singapura berusia 61 tahun itu mengaku bersalah atas satu tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Berita Mediacorp melaporkan, dia dipecat pada Mac tahun lalu berhubung insiden itu selepas bekerja di IMH sejak 2003.

Mangsanya yang kini berusia 59 tahun, mengalami skizofrenia teruk dan dirawat di IMH sejak 2005. Mahkamah diberitahu beliau tidak berupaya melindungi dirinya daripada dianiaya kerana keadaan mentalnya yang lemah.

Pada 8 Disember 2019, Sadasivam dan dua lagi jururawat — warga Malaysia, Muhammad Ihsan Mahmud, 32, dan Iylia Muhammad Afiq Nor Effendi, 25, — melaporkan diri untuk syif pagi.

Pada sekitar 10.30 pagi, mangsa dibawa ke ruang rehat selepas menggunting rambut. Beliau kemudian mula bermain dengan air kencing pesakit lain dan menyimbahnya ke arah seorang pembantu jururawat yang memberitahu Muhammad Ihsan apa telah berlaku.

Muhammad Ihsan menghampiri mangsa, yang diikat di sebuah kerusi roda dan menyimbah cecair pembasmi kuman sebanyak tiga kali selang beberapa minit tanpa alasan yang jelas.

Mangsa mula mencetuskan kekecohan, menyebabkan Sadasivam, Muhammad Ihsan dan Iylia membuat sekatan di kerusi rodanya kepada tiga bahagian.

Apabila mangsa mula menjadi gelisah, Muhammad Ihsan menumbuk mangsa di sekitar matanya sebelum terus mengetatkan ikatan pada dirinya.

Mangsa yang terus mengganas mula menendang jururawat itu, namun akhirnya dapat dikawal dan ketiga-tiga jururawat berkenaan menahannya. Bagaimanapun, beliau sekali lagi menjadi gelisah dan menendang seorang pesakit yang lain.

Timbalan Pendakwa Raya Phoebe Tan memberitahu mahkamah: “Tertuduh kemudian cuba membetulkan ikatan ke atas mangsa di lengan kirinya. Dia menjadi tertekan serta marah dengan tingkah laku mangsa dan memukul bahagian belakang kepala mangsa di sebelah kiri.”

Sadasivam kemudian memarahi mangsa dan menunjukkan isyarat tangan kepadanya. Mangsa ketakutan dan kembali tenang sementara Sadavisam terus membetulkan ikatannya.

Mangsa kemudian mula menggoyang-goyangkan kepalanya ke depan dan ke belakang sehingga hampir terhantuk kepala Sadavisam. Sadavisam memukul kepala mangsa sekali lagi.

Semua perbuatan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dimainkan di mahkamah.

Iylia kemudian mendapati mangsa mengalami lebam di sekitar mata kanannya dan meletakkan pek ais. Muhammad Ihsan melaporkan kecederaan itu kepada pengurusan IMH, dan seorang pengurus sumber manusia memfailkan aduan polis lima hari selepas serangan tersebut berlaku.

Mangsa dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) pada hari insiden berlaku. Salah satu jari kakinya patah akibat insiden tersebut.

Muhammad Ihsan mengaku bersalah dan dipenjara sembilan minggu pada Januari lalu. Iylia juga didakwa dan kesnya belum selesai.

Meskipun kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan dengan sengaja boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda maksimum S$5,000 atau kedua-duanya sekali, Sadasivam boleh dikenakan hukuman sehingga satu setengah kali hukuman tersebut kerana mangsa ialah dewasa lemah di bawah undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya