TEBING BARAT: Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz mengadakan pertemuan pertama dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di sini semalam.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Israel, Gantz menuju ke Ramallah untuk berjumpa dengan Mahmoud bagi membincangkan isu ‘keselamatan, penduduk dan ekonomi’.
“Dalam pertemuan tersebut, Gantz merancang untuk membantu Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengukuhkan ekonominya.
“Selain itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu merancakkan pembangunan ekonomi di Tebing Barat dan Gaza,” jelas kenyataan itu.
Mahmoud dan Gantz juga dikatakan bersetuju untuk terus berhubung pada masa akan datang bagi membincangkan lebih banyak isu penting.
Pertemuan jarang berlaku itu diadakan beberapa jam selepas Perdana Menteri Israel, Naftali Bennet pulang dari Washington untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden di White House. – AFP