LONDON: Seorang lelaki sanggup membayar 1,850 pound (RM10,869) dalam bidaan lelongan potongan kek perkahwinan Putera Charles dan Puteri Diana yang berusia lebih 40 tahun.
Lapor Metro, Gerry Layton dari Leeds membida harga tersebut bagi membolehkan dia memperoleh kek perkahwinan diraja yang disifatkan paling bersejarah itu.
Potongan kek itu pada mulanya diberikan kepada seorang daripada pembantu diraja iaitu Moya Smith sebagai menghargai jasanya dalam menjayakan majlis perkahwinan berkenaan.
Smith kemudiannya menyimpan potongan kek itu di dalam bekas tin sebelum keluarganya menjual bekas tersebut kepada seorang pengumpul pada 2008.
Bekas berisi kek itu mula menjadi tumpuan ramai apabila dilelong pada tahun ini sempena ulang tahun perkahwinan Charles dan Diana yang ke-40 tahun pada 29 Julai lalu.
Sementara itu, Layton memberitahu, dia merupakan peminat tegar monarki diraja Britain, terutamanya melibatkan Puteri Diana.
Lelaki itu juga berharap kek tersebut boleh dijadikan aset untuk dia menderma kepada badan kebajikan selepas ini.