BANGKOK: Polis Thailand sedang menyiasat kes seorang wanita warga Switzerland yang ditemukan mati berdekatan air terjun di sebuah resort pantai yang terkenal di negara itu.
Polis menemukan mangsa, Nicole Sauvain-Weisskopf, 57, dalam keadaan terbaring menghadap ke bawah dengan ditutup kain hitam di sebuah kawasan berhampiran di Pulau Phuket, semalam.
Dilaporkan, mangsa melakukan perjalanan ke Phuket dibawah skim ‘Sandbox’ iaitu usaha memulihkan kembali sektor pelancongan yang terjejas di Thailand.
Skim itu membenarkan pelancong yang sudah menerima suntikan vaksin melawat ke pulau itu tanpa perlu menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu di hotel.
Laporan bedah siasat bagi menentukan punca kematian dijangka diterima hari ini.
Namun, pihak berkuasa percaya Sauvain-Weisskopf sudah meninggal dunia sekurang-kurangnya tiga hari lalu.
Polis juga menemukan beberapa barang antaranya telefon bimbit, seluar dan kasut berhampiran mayat. – AFP