KABUL: Sekurang-kurangnya dua penumpang pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) yang digunakan dalam proses pemindahan penduduk di Kabul dilaporkan maut.
Berdasarkan rakaman video dan imej yang tular dalam media sosial, dua penumpang tersebut didakwa ‘terkeluar dan terjatuh’ dari pesawat dalam dua insiden berasingan.
Namun, media tempatan tidak dapat memastikan bagaimana insiden tersebut berlaku dan sekiranya dua kejadian itu saling berkaitan.
Agensi berita di Kabul sebelum ini melaporkan, terdapat tiga penduduk Afghanistan dipercayai berpaut pada bahagian roda pesawat ketika kapal terbang berlepas sebelum pegangan mereka terlepas lalu terjatuh di kawasan kediaman.
Beberapa saksi memberitahu, mereka terdengar bunyi benda jatuh yang kuat sebelum menyedari ada mayat terjatuh atas bumbung rumah.
Terdahulu, ratusan penduduk Afghanistan mengejar dan cuba memanjat badan pesawat tentera AS yang bakal berlepas di landasan.
Sehubungan itu, helikopter Apache digunakan untuk menyuraikan orang ramai yang disifatkan ‘terlalu terdesak’ untuk melarikan diri dari negara ini.
Kekecohan yang berlaku juga menyebabkan operasi penerbangan dihentikan buat sementara waktu bagi meredakan keadaan di lapangan terbang Kabul.
Tentera AS memaklumkan, operasi akan disambung semula selepas keadaan kembali reda dan tidak berbahaya. – AGENSI