JAKARTA: Nasib malang menimpa seorang petugas perkhidmatan kiriman apabila pelanggan membayarnya dengan menggunakan duit kertas permainan.
Lapor Suara.com, kejadian itu berlaku di Bantul pada Jumaat lalu.
Insiden itu diceritakan oleh seorang pengguna Facebook dengan nama DeaLova.
Kisahnya bermula apabila petugas perkhidmatan kiriman tersebut tidak dapat menghantar barangan ke alamat yang ditetapkan kerana tempat itu sudah tutup.
Sehubungan itu, petugas tersebut menghubungi penerima dan dia diarahkan untuk menunggu di satu lokasi yang ditetapkan untuk penghantaran menerusi kaedah pembayaran tunai ketika serahan (COD).
Selepas petugas tiba di lokasi berkenaan, penerima mengambil barang yang dihantar dan memberikan sampul surat yang didakwanya berisi duit.
Ketika petugas membuka sampul itu, penerima dengan segera melarikan diri dan mangsa melihat duit yang diletakkan dalam sampul itu merupakan duit kertas permainan.
Dia cuba mengejar penerima itu, namun gagal dan mengalami kerugian kira-kira (RM146).
Sementara itu, polis mengesahkan kejadian tersebut, namun memaklumkan pihaknya belum menerima laporan rasmi daripada mangsa.