SEATTLE: Kehidupan seorang lelaki berubah selepas beberapa pengguna Tiktok perasan mengenai kesan bengkak pada tiroidnya yang kemudiannya didiagnosis sebagai kanser.
Aaron Mankad mendedahkan dia baru-baru ini menjalani pembedahan untuk membuang nodul tersebut selepas pengguna media sosial itu menggesanya mendapatkan rawatan segera.
“Pengguna TikTok memberitahu saya kemungkinan mempunyai kanser dan nampaknya, mereka benar.
“Semuanya bermula ketika saya membuat video mengenai perbelanjaan dan ada beberapa pengguna menghantar mesej memberitahu tiroid saya bengkak dan perlu berjumpa doktor segera,” katanya kepada Daily Mail.
Mankad berjumpa dengan doktor selepas dia menerima banyak mesej mengenai keadaan tiroidnya yang membengkak.
“Selepas melakukan beberapa ujian dan imbasan ultra, doktor sahkan saya menghidap kanser tiroid,” ujarnya.
Selepas menjalani pembedahan dan mulai pulih, Mankad memuat naik video untuk menceritakan kisah tersebut kepada pengikutnya.
Lelaki itu juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin mengenai dirinya.
“Jika anda tidak perasan kesan bengkak itu, mungkin sehingga hari ini saya tidak tahu ia adalah kanser,” jelasnya.