PETALING JAYA: Pemergian bintang seni, Siti Sarah Raissuddin, 37, ke rahmatullah turut mendapat liputan BBC News, agensi berita berpangkalan di London, England.
Pemerhatian Utusan Malaysia di laman Facebook portal berita itu, ramai yang memberikan komen bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap arwah, dijangkiti Covid-19 dan dalam masa sama mengandung serta melahirkan bayi dalam keadaan ‘ditidurkan’.
Siti Sarah menghembuskan nafas terakhirnya tepat pukul 5.13 pagi semalam di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Siti Sarah yang juga isteri kepada pelawak, Shuib meninggal dunia selepas beberapa bertarung nyawa melawan jangkitan Covid-19.
Terdahulu, penyanyi lagu malar segar, Kesetiaan itu juga terpaksa ditidurkan untuk proses pembedahan melahirkan anak dalam kandungan yang berusia tujuh bulan.
“Salam takziah kepada suami dan anak-anaknya dan seluruh keluarganya. Saya sedih dengan berita ini, dia pergi kerana jangkitan Covid-19,” jelas netizen, Sylvia Lewis.
Hadeel Hoque pula menulis, dia mengingati arwah ketika berada di Malaysia dan arwah memiliki suara yang menakjubkan.
Andrea Dunn menulis: “Saya bersimpati dengan keluarga dan anak-anaknya. Salam takziah”.
Begitu juga Deborah Ward yang melahirkan rasa sedih dengan berita pemergian arwah.