SINGAPURA: Pelanggan di pusat makanan dan kedai kopi yang tidak membersihkan meja mereka akan didenda mulai 1 Januari 2022, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Berita Mediacorp melaporkan, pendekatan penguatkuasaan di tempat-tempat makan tersebut serupa dengan penguatkuasaan bagi perbuatan membuang sampah atas meja di pusat penjaja. Demikian menurut agensi itu dalam kenyataan akhbarnya.
Penguatkuasaan di pusat penjaja, yang diumumkan pada Mei, akan bermula pada 1 September ini. Pesalah kali pertama akan menerima amaran bertulis dan pesalah kali kedua pula akan dikenakan denda S$300. Pesalah berulang mungkin menghadapi denda mahkamah.
Penguatkuasaan bagi pembuangan sampah di atas meja pusat makanan dan kedai kopi akan bermula selepas tempoh makluman dua bulan dari 1 November hingga 31 Disember.
Serupa dengan penguatkuasaan di pusat penjaja, tiada tindakan akan diambil terhadap pelanggan yang gagal untuk membersihkan meja mereka sepanjang tempoh makluman itu.
“Sewaktu tempoh makluman, duta dan pegawai jarak selamat dari Agensi Makanan Singapura (SFA) dikerahkan ke kedai kopi dan pusat makanan untuk terus mengingatkan para pengendali agar memastikan pelanggan mereka memulangkan dulang kotor dan pinggan mangkuk serta membersihkan sampah mereka.
“Isyarat visual seperti poster dan kain rentang akan dipasang secara bertahap-tahap di premis-premis ini untuk mengingatkan pelanggan supaya membersihkan meja mereka. Walaupun tiada penguatkuasaan akan diambil semasa tempoh ini, pelanggan diingatkan supaya mematuhi arahan sekiranya dinasihatkan,” kata NEA.
NEA menyatakan pusat makanan dan kedai kopi sedang dalam proses untuk memasang kemudahan bagi pemulangan dulang serta pinggan mangkuk.