ROM: Seorang pelajar menjadi sensasi media sosial apabila mencacah tatu berbentuk kod bar vaksinasi Covid-19 pada bahagian lengannya.
Lapor News 18, Andrea Colonnetta berkata, dia tidak berfikir panjang untuk membuat tatu tersebut memandangkan imbasan kod bar vaksinasi sudah menjadi satu keperluan ketika ini.
“Saya suka menjadi lain dari yang lain.
Lagipun, saya tidak perlu mengeluarkan telefon untuk menunjukkan bukti saya sudah divaksin.
“Saya hanya perlu menyelak lengan baju dan mengimbas kod QR berkenaan,” katanya.
Penduduk Itali yang sudah lengkap vaksinasi akan diberi pas hijau sebagai bukti dan boleh digunakan untuk memasuki pelbagai tempat termasuk premis perniagaan dan kemudahan lain.
Penggunaan pas hijau tersebut sudah pun berkuat kuasa di negara ini sejak 6 Ogos lalu.
Antara tempat yang memerlukan pas tersebut termasuk panggung wayang, muzium, ruang sukan tertutup dan restoran.
Dalam pada itu, Colonnetta memberitahu, biarpun dia mendapat perhatian dalam media sosial, ibu bapanya menasihatkan supaya dia bersederhana dan sebolehnya menggunakan pas yang disediakan.
“Mereka mahu saya patuh undang-undang dan sudah tentu saya akan melakukannya.
“Tatu kod bar ini sebagai alternatif sekiranya saya tertinggal pas hijau atau telefon bimbit,” ujarnya.
Satu video yang dimuat naik dalam TikTok baru-baru ini menunjukkan Colonnetta mengimbas kod bar pada lengannya sebelum memasuki restoran makanan segera McDonald’s.