LA PAZ: Sepasang kekasih mencipta kelainan apabila melangsungkan perkahwinan di gunung tertinggi di Cordillera Rael di barat Bolivia.
Pasangan itu, Jhonny Pacheco dan Heydi Paco saling bertukar janji perkahwinan di atas puncak Gunung Illimani sambil disaksikan sejumlah tetamu yang juga merupakan pendaki.
Majlis perkahwinan itu berlangsung dengan lancar, selain cuaca dan suhu yang baik turut ‘menjayakan’ majlis tersebut.
Pasangan kekasih itu berserta beberapa rakan pendaki perlu membawa barangan seberat 20 kilogram setiap seorang bagi membuat persiapan majlis perkahwinan di puncak gunung tersebut.
Dalam majlis yang berlangsung pada ketinggian 6,439 meter dari aras laut itu, Jhonny dilihat memakai topi keledar mendaki berserta kasut bertapak besi, manakala heydi tampil dengan vel putih dan jambangan bunga.
Berdasarkan video yang dikongsi dalam media sosial, pasangan pengantin turut mengenakan tali keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga.
Kemudian, pasangan pengantin itu saling bertukar cincin sambil disaksikan rakan pendaki lain. – AGENSI