NEW YORK: Pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini tidak menjadi penghalang kepada lima syarikat teknologi gergasi untuk terus mengaut keuntungan.
Lima syarikat tersebut adalah Amazon, Apple, Google, Microsoft dan Facebook.
Hasil keuntungan yang dijana kelima-lima syarikat tersebut dianggarkan sama seperti nilai keuntungan yang diperoleh Sepanyol, iaitu negara ke-14 ekonomi terkaya di dunia.
Setiap satu daripada syarikat tersebut juga mampu menjana pendapatan melebihi 134 negara di seluruh dunia.
Menerusi laporan kewangan yang diumumkan baru-baru ini, Amazon memperoleh keuntungan sebanyak AS$113.1 bilion (RM477.4 bilion) dalam tempoh tiga bulan, iaitu meningkat 27 peratus.
Syarikat yang diasaskan oleh Jeff Bezos itu dijangka memperoleh keuntungan sebanyak AS$397.6 bilion (RM1.7 trilion) sepanjang tahun ini.
Jumlah itu melebihi daripada yang dijana oleh Filipina yang berada di kedudukan 33 bagi negara paling kaya di dunia.
Dalam pada itu, Apple merekodkan kekayaan sama seperti Hong Kong iaitu sebanyak AS$364.5 bilion (RM1.5 trilion).
Google pula memperoleh keuntungan sebanyak AS$61.7 bilion (RM260.4 bilion) dalam tempoh tiga bulan.
Bagi sepanjang tahun ini, Google dijangka menjana pendapatan sebanyak AS$246.1 bilion (RM1.04 trilion).
Nilai keuntungan itu melebihi 10 juta rakyat Portugal mampu sumbangkan dan negara itu kini berada di kedudukan 49 bagi ekonomi paling besar di dunia.
Jumlah keuntungan yang bakal dijana oleh Microsoft pada tahun ini pula adalah sebanyak AS$173.8 bilion (RM733.6 bilion), iaitu lebih besar daripada ekonomi Hungary.
Pengasas Microsoft, Bill Gates mempunyai nilai kekayaan peribadi berjumlah AS$129.3 bilion (RM454.8 bilion), sekali gus menjadikan beliau lebih kaya dari Maghribi.
Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg juga tidak ‘mahu kalah’ apabila syarikatnya memperoleh keuntungan sebanyak AS$29.2 bilion (RM123 bilion) hanya dalam tempoh tiga bulan.
Facebook juga dijangka menjana keuntungan sebanyak AS$109.8 bilion (RM463.5 bilion) sepanjang tahun ini dan itu menunjukkan syarikat tersebut lebih kaya dari Slovakia dan Kuwait. – AGENSI