KABUL: Taliban memberi jaminan kepada 100 negara bahawa kumpulan itu akan terus membenarkan rakyat asing dan penduduk Afghanistan untuk meninggalkan negara ini secara selamat, biarpun selepas tentera Amerika Syarikat (AS) berundur hari ini.
Antara negara tersebut termasuk AS, Britain, Perancis dan Jerman.
“Kami sudah mendapat jaminan dari Taliban bahawa semua rakyat asing dan mana-mana penduduk Afghanistan dibenarkan meninggalkan negara ini dalam keadaan selamat dan sepatutnya.
“Semua pihak komited untuk memastikan setiap rakyat asing dan penduduk Afghanistan yang masih terkandas di negara ini dapat keluar dengan selamat serta secepat mungkin,” menurut kenyataan bersama oleh 100 negara berkenaan.
Kumpulan negara itu juga memaklumkan pihaknya mengeluarkan dokumen perjalanan kepada ‘segelintir penduduk Afghanistan’ supaya mereka dibenarkan pergi ke mana-mana negara yang disenaraikan.
China dan Rusia menjadi antara negara yang tidak menandatangani dokumen kebenaran tersebut.
Dalam pada itu, penasihat keselamatan kebangsaan kepada Presiden Joe Biden, Jake Sullivan berkata, rakyat AS yang terkandas di Afghanistan akan dibawa keluar dari negara ini dalam tempoh terdekat.
“Pihak berkuasa AS sentiasa mempunyai cara bagaimana untuk mengeluarkan mereka dari negara ini dan Taliban juga sudah memberi jaminan kepada kami,” ujarnya.
Selain itu, Perancis dan Britain menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mewujudkan ‘zon selamat’ bagi membolehkan operasi bantuan kemanusiaan diteruskan.
Sokongan padu China
Menteri Luar China, Wang Yi memberitahu kepada Setiausaha Negara AS, Antony Blinken bahawa komuniti antarabangsa perlu menerima dan memberi panduan kepada Taliban untuk membentuk kerajaan baharu Afghanistan.
Katanya, Washington perlu bekerjasama dengan komuniti antarabangsa bagi menyediakan bantuan ekonomi serta kemanusiaan kepada negara ini, bagi membolehkan kerajaan ditadbir secara normal dan mengekalkan kestabilan sosial.
“AS sepatutnya membantu Afghanistan memerangi keganasan berbanding mempunyai pandangan dwistandard terhadap negara itu,” jelasnya.
Belum selamat
Biarpun Taliban memberi jaminan mengenai keselamatan rakyat asing dan penduduknya, situasi di Kabul dilihat belum selamat sepenuhnya apabila beberapa serangan roket dilancarkan ke arah lapangan terbang kabul.
Menurut beberapa saksi dan pasukan keselamatan, bunyi roket kedengaran di ruang udara Kabul dan dipercayai dilancarkan dari sebuah kenderaan di utara wilayah ini.
Imej yang dikongsi dalam media sosial menunjukkan sebuah kenderaan terbakar, didakwa akibat serangan balas, namun perkara itu dapat disahkan. – REUTERS/AGENSI