WASHINGTON: Pasukan penyelidik kesihatan di Universiti Michigan mendapati makan sepotong sosej boleh mengurangkan usia seseorang individu sebanyak 36 minit.
Lapor CNN, kajian tersebut disiarkan dalam jurnal Nature Food pada bulan ini.
Pasukan penyelidik mengkaji sebanyak 5,853 jenis makanan yang diambil oleh warga Amerika Syarikat (AS) dan mengukur berdasarkan khasiat dan kesannya dalam kiraan minit.
“Kami mahu membuat penilaian berdasarkan kesihatan mengenai manfaat dan kesan memudaratkan makanan dalam keseluruhan diet itu,” kata pengarang kanan kajian itu, Olivier Jolliet kepada CNN.
Pasukan penyelidik itu juga membangunkan indeks nutrisi yang mengira manfaat atau kesan dalam minit kehidupan sihat yang dikaitkan dengan hidangan makanan.
Ia berdasarkan kajian dikenali sebagai Global Burden of Disease yang mengukur tahap morbiditi berkaitan dengan pilihan makanan seseorang.
Tambah Jolliet, indeks itu meneliti makanan yang meningkatkan atau menurunkan jangka hayat penduduk.
“Misalnya, pengambilan daging proses dapat mengurangkan 0.45 minit kehidupan manusia namun makanan sihat seperti buah-buahan mampu menambah 0.1 minit hidup lebih lama bagi setiap gram.
“Kami juga mengkaji komposisi setiap makanan dan kemudian mendarabkan angka itu dengan profil makanan sama sebelum diteliti,” kata Jolliet.
Sementara itu, kajian mendapati pengambilan makanan seperti kekacang, makanan laut, sayur-sayuran dan buah-buahan memberi kesan positif terhadap kesihatan.