PARIS: Perancis dan Britain akan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mewujudkan `zon selamat’ di Kabul bagi melindungi operasi bantuan kemanusiaan di Afghanistan.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
“Ia amat penting dan akan menyediakan rangka kerja kepada PBB untuk bertindak dalam situasi kecemasan,” kata Macron dalam ruangan komen yang disiarkan dalam Journal du Dimanche.
Jelas Macron, zon selamat itu juga akan membenarkan komuniti antarabangsa terus mengekalkan tekanan terhadap kumpulan Taliban yang kini menguasai Afghanistan.
Dilaporkan, lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu Perancis, Britain, Amerika Syarikat (AS), Rusia dan China akan mengadakan pertemuan esok untuk membincangkan mengenai situasi di Afghanistan.
Tambah Macron, dalam pertemuan itu, Paris dan London akan membentangkan draf resolusi yang bertujuan menentukan sebuah zon selamat dibawah kawalan PBB di Kabul yang membolehkan operasi kemanusiaan diteruskan. – AFP