BEIRUT: Sekurang-kurangnya lima orang termasuk tiga anggota Hezbollah terbunuh dalam satu serangan ketika perarakan majlis pengebumian anggota parti itu di selatan Beirut.
Sumber keselamatan Lubnan memberitahu beberapa orang cedera dalam kejadian tembakan balas antara anggota kumpulan Syiah Lubnan dan penduduk Sunni di daerah Khalde.
Menurut sumber, majlis pengebumian itu adalah bagi seorang anggota Hezbollah yang terbunuh pada malam sebelumnya.
Hezbollah dalam satu kenyataan meminta pasukan keselamatan dan tentera untuk menahan pihak yang bertanggungjawab atas serangan tersebut.
Seorang sumber tentera memberitahu AFP, pihaknya sudah mengerahkan pasukannya ke kawasan tersebut.
Jelasnya, tentera akan melepaskan tembakan terhadap mana-mana lelaki bersenjata di kawasan Khalde dan juga sebagai tindak balas insiden tembakan lain.
Menurut seorang jurugambar AFP, walaupun terdapat amaran, kejadian tembakan rambang berlangsung selama tiga jam setelah kekacauan meletus. – AFP