ANKARA: Loji tenaga termal di wilayah Mugla, tenggara Turki sudah dikosongkan selepas kebakaran hutan semakin merebak.
Kebakaran hutan dilaporkan menghampiri kawasan Loji Kuasa Termal Kemerkoy di daerah Turkevleri semalam, selain usaha memadamkan api berdepan kesukaran susulan angin kencang di wilayah tersebut.
Media tempatan melaporkan, semua petugas di loji berkenaan sudah diarahkan mengosongkan bangunan, selain semua bahan mudah terbakar dan meletup juga dibawa keluar.
Sejumlah tangki air dan jentera bomba ditempatkan di luar loji tersebut sebagai persiapan sekiranya kebakaran merebak ke bangunan utama.
Pihak berkuasa Turki memaklumkan, tangki hidrogen di lojai tersebut sudah dikosongkan dan diisi dengan air sebagai langkah berjaga-jaga.
Loji kuasa itu beroperasi menggunakan arang batu dan minyak gas.
Beberapa imej yang dikongsi dalam media sosial menunjukkan api sudah merebak ke pintu masuk loji tersebut.
Setakat ini, lapan orang terkorban akibat kebakaran hutan yang melanda selatan Turki. – AFP