Lepas gempa, Haiti diancam ribut - Utusan Malaysia

Lepas gempa, Haiti diancam ribut

PENDUDUK mencari barangan yang boleh dipakai di tapak runtuhan rumah selepas gempa bumi melanda Haiti. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT-SALUT: Penduduk terus dilanda keresahan apabila Ribut Tropika Grace dijangka membadai Haiti dalam tempoh terdekat dan keadaan itu bakal memburukkan lagi keadaan selepas negara ini dilanda gempa bumi kuat sejak Sabtu lalu.

Banjir kilat dan tanah runtuh mungkin berlaku ketika ribut itu dilaporkan bergerak ke barat daya Haiti.

Menurut Pusat Taufan Nasional (NHS) Amerika Syarikat (AS), Haiti dan Republik Dominika dijangka menerima taburan hujan akibat ribut Grace dari 127 milimeter (mm) hingga 254mm dengan jumlah maksimum 381mm di kawasan selatan sehingga semalam.

“Hujan lebat ini boleh mengakibatkan banjir dan banjir kilat serta kemungkinan tanah runtuh,” jelas NHS. 

Dalam pada itu, anggota penyelamat menggunakan jentera berat bagi mengalihkan serpihan bangunan untuk mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan akibat gempa bumi kuat yang setakat ini mengorbankan lebih 1,400 orang.

Menurut Agensi Perlindungan Awam Haiti, seramai 1,419 orang maut dan 6,900 lagi cedera dalam gempa bumi kuat yang melanda kira-kira 160 kilometer di sebelah barat bandar Port-au-Prince.

Jelas pihak berkuasa, bencana itu turut memusnahkan lebih 37,000 buah rumah.

“Dari segi psikologi, kami sebenarnya berasa amat terganggu. Kami tidak tahu bagaimana akan melalui situasi ini,” kata seorang petugas perubatan di hospital di sini.

Dilaporkan, penduduk mengalami dilema sama ada untuk tinggal di luar bagi menyelamatkan diri mereka daripada gempa susulan atau kembali semula ke kediaman yang rosak untuk berlindung dari hujan lebat yang disebabkan oleh ribut Grace. 

Beberapa bantuan kemanusiaan dari negara luar tiba di Haiti termasuk pasukan anggota penyelamat khas dari AS dan 15.4 tan makanan, air dan perubatan dari Mexico. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya