CHICAGO: Sebanyak 25 peratus jangkitan Covid-19 melibatkan penduduk di Los Angeles County yang sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya dari Mei hingga 25 Julai lalu.
Tempoh itu juga menyaksikan penularan varian Delta yang sangat tinggi.
Laporan minggguan yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) mengenai kes kematian serta penyakit menunjukkan peningkatan jangkitan dalam golongan yang sudah divaksin.
Data terkini yang dikeluarkan semalam melibatkan lebih 43,000 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk berusia 16 tahun ke atas.
Daripada jumlah itu, seramai 10,985 bersamaan 25.3 peratus melibatkan penduduk yang sudah divaksin sepenuhnya, 1,431 atau 3.3 peratus individu yang menerima separuh suntikan serta 30,801 atau 71.4 peratus adalah golongan yang belum divaksin.
CDC bergantung kepada data dari kohort, seperti kajian di Los Angeles County bagi menentukan sama ada rakyat AS memerlukan suntikan dos ketiga untuk meningkatkan perlindungan.
Saintis kerajaan minggu lalu memutuskan strategi dos ‘vaksin penggalak’ bermula 20 September depan.-REUTERS