BANGKOK: Pihak berkuasa kesihatan Thailand memberi jaminan dan berharap kes jangkitan Covid-19 di bandar ini boleh diturunkan dalam tempoh dua minggu akan datang.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Awam, Dr. Yongyot Thammawut berkata, ujian saringan dan kuarantin yang dilakukan secara besar-besaran di Bangkok ketika ini bertujuan mengurangkan kadar jangkitan.
Katanya, seramai 41 pasukan yang terdiri daripada 400 doktor dan petugas perubatan terlibat dalam melakukan ujian saringan secara besar-besaran di bandar ini serta beberapa wilayah lain sejak awal Ogos.
Ujian itu juga melibatkan kawasan yang tinggi kes jangkitan.
“Berdasarkan data yang diperoleh, kes jangkitan di Bangkok masih pada kadar tinggi, masih banyak penduduk yang dijangkiti dan tidak mempunyai akses untuk jalani ujian Covid-19.
“Sehubungan itu, ujian saringan dalam skala besar perlu diteruskan sehingga tempoh dua minggu akan datang bagi melandaikan jumlah jangkitan,” katanya.
Lapor Bangkok Post, sebanyak 15,074 daripada 141,516 penduduk Bangkok yang disaring didapati positif Covid-19, dengan 323 mempunyai gejala teruk.