Kerana daun pandan, seorang lelaki didenda S$2,000 - Utusan Malaysia

Kerana daun pandan, seorang lelaki didenda S$2,000

Ng Kiong Hoe (kiri) bersama Cheng Lee Meng (kanan) dihadapkan ke mahkamah kerana menceroboh kawasan larangan tentera. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 63 tahun didenda S$2,000 oleh sebuah mahkamah daerah kerana membantu seorang lelaki lain menceroboh kawasan larangan tentera semata-mata untuk mengambil daun pandan.

Ng Kiong Hoe mengaku bersalah mempunyai niat sama dengan Cheng Lee Meng, 61 tahun, untuk memasuki tapak latihan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) secara haram di Lim Chu Kang.

Menurut laporan Berita Mediacorp., Lee Meng yang berdepan tuduhan sama, bagaimanapun mempertikaikan fakta dan menuntut untuk dibicarakan. Tidak dinyatakan di mahkamah apakah fakta yang tidak disetujui lelaki itu.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Gabriel Choong memberitahu mahkamah bahawa Lee Meng didakwa meminta Kiong Hoe untuk menemaninya ke Ama Keng Road Track 9, yang dikepung kepada orang awam dengan sebuah pagar bermangga, pada pagi, 9 September tahun lalu.

Kedua-dua lelaki itu menuju ke tapak latihan itu pada petang hari tersebut dengan menaiki van milik Lee Meng.

Setibanya mereka di sana, Kiong Hoe keluar dari van untuk membuka pagar dengan menggunakan kunci yang diterimanya daripada Lee Meng. Ini dilakukan agar Lee Meng boleh memandu masuk ke tapak latihan berkenaan.

Tidak dinyatakan bagaimana Lee Meng memperoleh kunci tersebut.

Bagaimanapun, sebaik sahaja Kiong Hoe mahu menutup pagar di belakangnya, seorang pegawai waran dari SAF menahan mereka.

DPP berkata, Kiong Hoe enggan memberitahu pegawai waran itu mengapa mereka berada di sana tetapi apabila disiasat polis, dia mendakwa mereka mahu mengambil daun pandan.

Kiong Hoe yang tidak diwakili peguam, merayu agar hukumannya diringankan dan memberitahu mahkamah menerusi seorang jurubahasa Mandarin bahawa dia bekerja sebagai pemungut pinggan mangkuk di sebuah kedai kopi dan ‘tidak ada banyak kerja untuk dilakukan kerana peraturan tidak boleh duduk makan di luar’.

Hakim Daerah Luke Tan memberitahu Kiong Hoe bahawa dia mungkin mengganggu operasi ketenteraan atau membahayakan keselamatan diri dan yang lain dengan berada di kawasan larangan tersebut.

“Ada tanda-tanda jelas (memberi amaran kepada anda agar tidak masuk). Bahkan, ada seorang askar memegang senapang,” kata hakim itu.

Beliau merujuk kepada dua papan tanda yang didapati di sekitar kawasan tersebut yang bertulis: ‘Tempat Larangan. Dilarang masuk jika tiada kebenaran’ (dalam empat bahasa berbeza).

Pada awal pembicaraan kes itu, Hakim bertanya kepada Lee Meng mengapa dia memilih untuk mempertikaikan fakta kes sedangkan dia sudah dihadapkan ke mahkamah untuk perkara tersebut buat beberapa kali.

Lee Meng mendakwa itu adalah kali pertama dia mendengarnya dan akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 19 Ogos ini.

Jika didapati bersalah, dia boleh didenda sehingga S$20,000, dipenjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya