TOKYO: Seramai 21 jurubina dan dua mekanik berjaya membina sebuah kereta Toyota GR Supra saiz sebenar dengan menggunakan 477,303 bongkah Lego.
Lapor Daily Mail, pasukan itu memperuntukkan masa selama 225 hari bersamaan 5,400 jam bagi menghasilkan kereta sebenar berwarna kuning.
Menurut Toyota, replika itu dibina di Republik Czech dengan menggunakan kepingan Lego sebenar dan memiliki motor elektrik di bahagian tempat duduk, roda, pedal yang bersumberkan dari sebuah kereta sebenar.
Replika itu turut mempunyai bingkai logam sebagai tapak serta tayar, lampu dan pintu sebenar yang dapat berfungsi sepenuhnya serta dipandu.
Projek itu merupakan penghormatan sempena ulang tahun Supra ke-35 dalam industri permotoran.
Kereta itu akan dipamerkan di Legoland Jepun sehingga 11 Oktober depan.