KABUL: Kepantasan Taliban menduduki ibu kota Afghanistan selepas 10 hari melancarkan serangan mengejutkan seantero dunia.
Kejayaan menakluki Kabul bertambah mudah selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari negara itu selepas 20 tahun menjalankan misi ketenteraan.
Pusat Pembanterasan Keganasan AS di West Point malah menganggarkan kekuatan kumpulan Taliban berjumlah 60,000 anggota.
Dengan tambahan anggota tentera serta sokongan pasukan lain, bilangan itu dijangka sudah mencecah 200,000 orang.
Justeru, timbul persoalan kenapa Taliban tidak membantu Hamas membebaskan Palestin daripada cengkaman Zionis Israel.
Dalam makalah berjudul Hamas, Taliban and The Jewish Underground: An Economists View of Radical halaman 10 hingga 11 yang ditulis oleh Eli Berman pada September 2003, dijelaskan Taliban dan Hamas memiliki keterbatasan masing-masing.
Makalah yang diterbitkan oleh National Bureau of Economic Research di Cambridge menerangkan, Taliban dan Hamas memilki asal usul geografi dan teologi berbeza.
“Salah satu perbezaan adalah Hamas melihat penduduk Palestin sebagai rakyat yang perlu dilindungi, sementara, Taliban melihat majoriti rakyat Afghanistan itu perlu ditawan dan ditakluki,” tulisnya.
Konflik di Palestin bukan sahaja melibatkan pertahanan melawan Israel, tetapi turut melibatkan perselisihan antara Fatah dan Hamas.
Faktor inilah yang menjawab persoalan mengapa Taliban tidak membantu rakyat Palestin daripada diserang Israel secara berterusan. -AGENSI