Kebakaran hutan Sepanyol: Hampir 1,000 orang dipindahkan - Utusan Malaysia

Kebakaran hutan Sepanyol: Hampir 1,000 orang dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Pihak berkuasa Sepanyol memindahkan kira-kira 1,000 penduduk dari rumah untuk melindungi mereka daripada kebakaran hutan yang sudah memusnahkan hampir 12,000 hektar tanah sejak Sabtu lalu.

Kebakaran hutan itu disebabkan gelombang panas melampau yang melanda negara tersebut.

Kebakaran di Navalcruz mula berlaku selepas sebuah kereta meletup di jalan raya pada Sabtu lalu dan memaksa penduduk dari lapan kampung berpindah serta-merta.

Navalcruz merupakan sebuah kawasan luar bandar kira-kira 120 kilometer (km) barat Madrid di wilayah tengah Castilla y Leon.

Ketua wilyah alam sekitar, Juan Carlos Suarez-Quinones berkata, angin kencang, suhu tinggi dan kelembapan yang rendah mewujudkan situasi sempurna untuk api marak sehingga merebak dengan cepat ke kawasan lain.

Bagaimanapun, katanya, anggota bomba sedang berusaha untuk mengawal dan memadamkan kebakaran itu.

“Sekiranya, tiada perubahan dalam keadaan tiupan angin, kita mungkin dapat mengawal kebakaran itu hari ini,” katanya.

Jelasnya, kira-kira 1,000 anggota bomba termasuk 140 tentera serta helikopter dan pesawat telah dikerahkan untuk membantu operasi memadamkan kebakaran itu.

Sementara itu, menurut pihak berkuasa, dua lagi kejadian kebakaran berhampiran kawasan itu berjaya dikawal. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN