JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (jokowi) mendengar rintihan rakyat yang tidak berpuas hati dengan harga ujian Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).
Hal ini kerana, rakyat mengeluh apabila mereka perlu membayar sebanyak 900,000 rupiah (RM265) untuk melakukan ujian tersebut.
Sehubungan itu, Jokowi mengarahkan supaya harga ujian Covid-19 itu diturunkan kepada 450,000 rupiah (RM132) hingga 550,000 rupiah (RM162).
Jokowi memberitahu, beliau sudah pun membincangkan isu tersebut dengan Kementerian Kesihatan.
“Satu daripada cara untuk memperbanyakkan jumlah ujian adalah dengan menurunkan harga ujian PCR.
“Selain itum tempoh keputusan ujian perlu dikeluarkan dengan kadar segera iaitu dalam tempoh 24 jam dan bukannya 48 jam seperti sebelum ini,” katanya.
Pada tahun lalu, harga ujian PCR di semua hospital di seluruh Indonesia ditetapkan berharga 900,000 rupiah dan harga itu perlu dibayar oleh penduduk yang membuat ujian tanpa arahan pihak berkuasa kesihatan.
Manakala, mereka yang menjalani ujian PCR atas keperluan mengesan kontak rapat pesakit Covid-19 yang disediakan oleh kerajaan adalah percuma.