JAWA BARAT: Siapa sangka walaupun nyamuk dikenali sebagai serangga pembawa penyakit seperti denggi, namun, Kementerian Kesihatan mengabadikan sebuah muzium nyamuk di Indonesia.
Lapor Suara.com, muzium itu merupakan satu-satunya yang dibina di Kompleks Pelancongan Ilmiah Loka Penelitian dan Pembangunan Kesihatan, Pangandaran untuk mendidik masyarakat tentang bahaya nyamuk.
Hanya terdapat dua muzium nyamuk di dunia dan salah satunya berada di negara ini.
Muzium itu dijadikan sebagai tempat pelancongan dan mempunyai koleksi 301 spesimen yang terdiri daripada 28 spesies nyamuk dan enam generasi berbeza dari pelbagai wilayah.
Contohnya seperti Aedes, Culex, Anopheles, Mansonia, Armigeres, dan Toxor.
Muzium itu turut menyediakan teater nyamuk yang akan menayangkan dokumentari mengenai kitaran kehidupan nyamuk dengan kapasiti 120 orang.
Muzium ini sebenarnya sudah lama dibuka dan dirasmikan oleh Gabenor Jawa Barat, Ahmad Haryawan pada 19 Ogos 2009.
Namun, masih ramai yang belum mengetahui tentang kewujudan muzium ini.