LONDON: Seorang lelaki tidak menyangka akan kehilangan ibu, bapa dan adiknya dalam tempoh seminggu akibat Covid-19.
Francis Goncalves yang tinggal di Cardiff memberitahu, adiknya, Shaul, 40, dan ibu mereka, Charmagne, 65, dijangkiti Covid-19 dari bapa mereka, Basil, 73, selepas menikmati makan malam bersama pada awal Julai lalu.
Keluarga Francis menetap di Portugal.
Katanya, ibu bapa dan adiknya belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 kerana mereka takut dengan propaganda yang disebarkan oleh golongan anti vaksin.
Dua minggu selepas dijangkiti virus maut itu, ibu bapa dan abang Francis menghembuskan nafas terakhir.
Bercakap kepada WalesOnline yang dipetik Mirror, Francis menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berhati-hati supaya tidak kehilangan insan tersayang seperti yang dialaminya.
“Semuanya berlaku begitu pantas, siapa sangka saya akan kehilangan ibu bapa dan adik hanya dalam tempoh seminggu.
“Tidak mampu saya gambarkan dengan kata-kata tentang apa yang saya rasa ketika ini, melihat insan tersaya menghembuskan nafas terakhir,” katanya.
Jelas Francis, dia mendapat panggilan telefon dari hospital adik serta bapanya meninggal dunia pada hari yang sama.
“Esoknya saya terbang ke Portugal dan dimaklumkan ibu dalam keadaan kritikal sebelum meninggal dunia beberapa hari kemudian,” ujarnya.
Francis memaklumkan, ibu bapa serta adiknya dikebumikan sebaris di tanah perkuburan di Lisbon.