Gorila juga pandai sayang 'anak angkat' - Utusan Malaysia

Gorila juga pandai sayang ‘anak angkat’

KERA menyayangi Hasani sama seperti anak kandungnya. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRISTOL: Seekor anak gorila yang diberi nama Hasani, leka menggigit batang pokok ketika ibunya, Kera meletakkan anak haiwan itu di belakangnya.

Situasi itu mungkin kelihatan biasa bagi mana-mana ibu haiwan yang sentiasa melindungi anak-anak mereka.

Namun, apa yang istimewa adalah Hasani sebenarnya bukan anak kandung Kera.

Gorila betina berusia 16 bulan itu dipilih oleh petugas zoo di sini supaya menjadi ‘ibu angkat’ kepada Hasani selepas ibu kandungnya, Kala enggan menerima kelahirannya.

Baru berusia empat minggu selepas dilahirkan pada hujung tahun lalu, Hasani kehilangan berat badan dengan cepat dan pihak zoo bimbang jika anak gorila itu tidak mampu meneruskan kehidupan selepas diabaikan ibunya.

Petugas zoo bertungkus-lumus menyelamatkan Hasani, termasuk memberinya susu, bermain, malah tidur dengannya bagi mewujudkan suasana ‘rasa disayangi’.

Kera dipilih untuk menjadi ibu angkat Hasani berdasarkan ‘pengalamannya’ apabila gorila betina itu terpaksa menyerahkan anaknya kepada gorila lain selepas tidak mampu menjaganya kerana menjalani pembedahan Caesarean ketika melahirkan anaknya.

Keadaan itu menyebabkan Kera sentiasa berasa rindu untuk membesarkan anak dan kehadiran Hasani mengubat kerinduannya.

Seorang petugas zoo, Lynsey Bugg berkata, Hasani berkemungkinan sudah mati sekiranya mereka tidak mengambil langkah cepat dan penerimaan Kera terhadap anak gorila itu amat menyenangkan.

“Hasani secara tidak langsung memberi peluang menjadi ibu sekali lagi kepada Kera dan melihat hubungan mereka, kami berasa amat bersyukur,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN