LES CAYES: Keadaan daif akibat kerosakan di sejumlah hospital selepas gempa bumi sekuat 7.2 skala Richter melanda Haiti kelmarin menyebabkan ribuan mangsa cedera tidak dapat dirawat dengan segera.
Dianggarkan lebih 5,700 penduduk cedera dan sekurang-kurangnya 1,297 maut dalam gempa bumi tersebut.
Seorang doktor, Rudolphe Steven Jacques berkata, hanya terdapat tiga pakar perubatan dalam unit kecemasan ketika gempa berlaku sebelum semua doktor dikerah ke lokasi terjejas untuk membantu penduduk cedera.
Katanya, kekurangan peralatan perubatan yang kronik menyukarkan proses rawatan dilakukan sera biarpun ada mangsa yang cedera parah.
“Pesakit wanita ini sudah lama menunggu saya untuk menjahit lukanya, namun ketika ini, dulang perubatan pun kami tiada,” katanya sambil menunjuk ke arah pesakit wanita yang cedera di bahagian kaki.
Jelas Jacques, dia dan rakan-rakannya berusaha melakukan yang terbaik untuk merawat segera semua mangsa cedera.
Gempa tersebut memusnahkan lebih 13,600 bangunan dan ribuan lagi rosak, menyebabkan ratusan penduduk terperangkap di bawah runtuhan.
Selain itu, kebanyakan penduduk masih dilanda trauma dan mereka tidak mahu duduk di pusat pemindahan yang tertutup kerana bimbang runtuhan berlaku.
Mereka lebih selesa duduk di dalam khemah di ruang terbuka. – AFP