ATHENS: Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis meminta maaf atas kegagalannya menangani kebakaran hutan yang menjejaskan hampir seluruh negara itu.
Lapor BBC, ratusan anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran besar yang memaksa ribuan orang terpaksa meninggalkan rumah dan memusnahkan puluhan harta benda.
“Saya benar-benar memahami keperitan rakyat melihat rumah dan harta benda mereka musnah dalam kebakaran.
“Kita mungkin telah melakukan sedaya mungkin namun ia masih tidak mencukupi,” kata Mitsotakis.
Asap tebal masih menyelubungi sekitar Pulau Evia di timur laut Athens akibat kebakaran yang berlaku sejak seminggu lalu.
Puluhan rumah dan ekar hutan di Evia dan beberapa kawasan lain di Greece musnah dalam kebakaran itu.
Malah, ratusan penduduk diarahkan untuk meninggalkan kepulauan itu untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran.
Mitsotakis berkata, Greece sedang menghadapi dimensi bencana alam yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Kemarahan rakyat semakin meningkat disebabkan kelewatan kerajaan bertindak balas menangani isu tersebut termasuk kekurangan pesawat pemadam kebakaran.
Menurut Mitsotakis, sebarang kegagalan akan dikenal pasti namun beliau menegaskan pasukan bomba berusaha sedaya upaya untuk memadamkan kebakaran tersebut. – AGENSI